Saturday, August 18, 2007

PERINTAH AM BAB "B" : ELAUN-ELAUN PERKHIDMATAN 1974

SKOP TUMPUAN BLOG
Skop tumpuan dalam perbincangan topik ini ialah:-
  1. Perintah Am, Bab "B" : Elaun-Elaun Dalam Perkhidmatan (1974)
  2. Perlembagaan Persekutuan
Sumber rujukan penting ialah:-
  1. Perintah Am, Bab "B" : Elaun-Elaun Dalam Perkhidmatan (1974)
LATARBELAKANG
Secara umumnya, Perintah Am ini dikeluarkan di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong menggantikan Perintah-perintah Am Kewangan Bab V tentang Perjalanan, Elaun Hidup dan Pengangkutan. Dengan ini juga Bab V, Perintah-perintah Am Kewangan yang telah dikeluarkan sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 terbatal dengan sendirinya.

Perintah Am ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 1974.

Bagi mengikut peredaran masa dan waktu gunapakai perintah dan peraturan ini, Perintah Am ini telah DIPINDA melalui PEKELILING yang dikeluarkan oleh kerajaan dari masa ke semasa.

KEMUDAHAN BERDASARKAN KRITERIA
Umumnya, Elaun-elaun Dalam Perkhidmatan di bawah Perintah Am, Bab "B" ini adalah kemudahan berasaskan kriteria berikut :-
  1. Kepakaran
  2. Kemahiran
  3. Kepentingan Sesuatu Perkhidmatan
  4. Bayaran Balik Perbelanjaan
  5. Tanggungjawab Tambahan
  6. Kos Sara Hidup
  7. Risiko Kerja
  8. Kesusahan
  9. Galakan, dan;
  10. Keanehan Tugas atau Perkhidmatan
PRINSIP-PRINSIP PEMBERIAN ELAUN-ELAUN DALAM PERKHIDMATAN
Dari analisis dan kajian, terdapat 4 prinsip pemberian elaun-elaun dalam perkhidmatan. Antaranya ialah :-
  • Tidak Sejagat
  • Secara umumnya, pemberian elaun hanya kepada sesuatu perkhidmatan tertentu sahaja.
  • Tidak Kekal
  • Hampir keseluruhan elaun adalah bersifat sementara sahaja, dalam mana ia pada bila-bila masa akan boleh ditarik semula oleh yang memberi elaun tersebut.
  • Tidak Biasa
  • Pemberian Elaun hanya dalam keadaan tertentu sahaja. Contohnya; Elaun trafik Udara dan Elaun Kedastra (Elaun Pegawai Jabatan Ukur)
  • Kesaksamaan
  • Dan, bagi membuktikan sikap adil kerajaan pemberian elaun diberikan kepada anggota perkhidmatan awam yang layak sahaja secara adil dan saksama.
TAFSIRAN
Bagi memahami Bab 'B' : Elaun-Elaun Dalam Perkhidmatan (1974), Perintah Am ini, tafsiran penting berikut perlulah difahami dengan merujuk Para 2, Perintah Am, Bab "B": Elaun-Elaun Dalam Perkhidmatan (1974) tersebut.
  • Ibu Pejabat (Para 2 (2.2), Perintah Am, Bab "B": Elaun-Elaun Dalam Perkhidmatan (1974))
  • 'Ibu Pejabat' bermakna tempat biasa seseorang pegawai melaporkan diri untuk bertugas dan lingkungan jarak pentadbirannya ialah:-
  1. (Para 2 (2.2 (a)), Perintah Am, Bab "B": Elaun-Elaun Dalam Perkhidmatan (1974)) - 25 km jika boleh dihubungi oleh jalanraya.
  2. (Para 2 (2.2 (b)), Perintah Am, Bab "B": Elaun-Elaun Dalam Perkhidmatan (1974)) - 16 km jika boleh dihubungi oleh jalan tanah yang boleh dilalui oleh kenderaan bermotor; dan
  3. (Para 2 (2.2 (c)), Perintah Am, Bab "B": Elaun-Elaun Dalam Perkhidmatan (1974)) - 8 km jika boleh dihubungi oleh jalan basikal atau sungai (Para ini lebih menekankan tentang penggunaan jalan luar bandar yang sukar dihubungi seperti di Sabah dan Sarawak).
  • Tafsiran di atas lebih memperjelaskan erti 'Out station' yang digunapakai istilahnya hari ini.

No comments: